Disclaimer:The content of this website are prepared for the purpose of information only. Powered by Blogger.

Thursday, June 21, 2012

Kenangan Kerepek Pisang


Entry ini ditujukan khas buat anak-anak ummi; Aiza dan Asyraf. Nanti bila kamu berdua dah boleh membaca, ketahuilah bahawa sesungguhnya kesenangan tak datang bergolek! Kita kena usaha untuk mendapatkannya.

*******************************************
Hari ni ummi makan sebungkus kerepek pisang. Sambil makan ummi termenung. Kenangan lebih 20 tahun lepas tiba-tiba datang menjelma. Ceh...intro dah macam novel.

Teruskan membaca ye puan-puan.

Ummi ada ramai adik beradik. 12 orang semuanya. Yai bekerja sebagai peneroka. Nyai pula hanya suri rumah tangga. Waktu dulu kami hidup agak susah. Ada yang di universiti, ada yang sekolah menengah, ada yang sekolah rendah, dan ramai jugak yang kecik-kecik duduk rumah. Semuanya perlukan duit. Sedangkan ekonomi waktu tu tak sestabil sekarang. Pernah Yai hanya dapat gaji bulanan (setelah tolak hutang piutang) yang tinggal cuma 20 sen sahaja! Sadis sungguh. Nak beli roti sebuku pun tak lepas. Tapi takpe sebab Yai dan Nyai hebat orangnya. Semuanya mereka produce dan usahakan sendiri. Yai pandai bertukang dan terror betulkan alat eletrik yang rosak walaupun takde pendidikan formal. Bumbung bocor atau pintu tercabut atau kipas tertanggal - semuanya no hal. Nyai pulak skill memasak dan menjahitnya tak boleh dilawan. Baju anak-anak semua dia yang jahit. Kain lebihan langsir pun boleh jadi gown yang sangat cantik (baju ummi le tu kihkihkih). Nyai juga pandai mempelbagaikan masakan dengan sumber yang terhad. Pisang sesisir boleh jadi bubur seperiuk. Udang segenggam boleh jadi jemput-jemput sedulang. Even kalau teringin nak makan mee pun, nyai uli dan buat sendiri mee kuning versi dia. Sungguh ummi kagum!

Jadi apa kaitannya dengan kerepek pisang? Well, dalam kesempitan hidup, bawak duit ke sekolah adalah sesuatu yang sangat jarang dapat dilakukan. Kalau harga sawit meningkat, dapatlah bawak 10sen atau 20sen ke sekolah. Waktu harga sawit merudum, hari-hari bawak terpaksa bawak bekal. Pernah suatu hari, setelah sekian lama tak dapat duit 'jajan', ummi beranikan diri minta duit dari Yai. Malangnya tak dapat apa-apa, habuk pun tarak! Nyai yang kesian kat ummi terus cakap "Nak tak kalau mak buat kerepek kau jual kat sekolah?". Ummi tiada pilihan. So dari situ bermulalah pengalaman ummi jadi peniaga IKS jual kerepek di sekolah.

Hari pertama berjual, malu nak buat promosi. Setakat jual dengan kawan sebelah menyebelah. Tapi kerepek buatan nyai sedap dan rangup. Tak perlu promosi, cepat je orang tahu. Dari sehari ke sehari, perniagaan kerepek ummi makin berkembang. Ummi pun sangat gembira!

Setiap perniagaan tentu ada persaingan. Berniaga kerepek kat sekolah pun tak terkecuali. Maklumlah satu kampung semuanya anak peneroka. Semuanya pun kesempitan duit. Maka kelas pun bertukar menjadi ala-ala pasar tani bila tiba waktu rehat. Zurairah menjual kedondong, Syam menjual batang buruk malah Si Lela (kalau tak silap) jual rambutan bila tiba musim buah. Pendek kata, segala apa yang boleh dijual tu akan ada je orang bawak ke kelas dan jual murah-murah. Gigih sungguh!

Bila masuk darjah 6, ummi stop berniaga. Kononnya nak concentrate dengan UPSR. Padahal kerepek dah kurang laku. Yelah, hampir 2 tahun sogok kawan-kawan suruh makan kerepek pisang mestilah diorang jemu. Ye tak? So dipendekkan cerita, perniagaan IKS kerepek pisang ummi terus BUNGKUS! Nasib baik time tu ekonomi makin stabil. So tak perlu berniaga lagi. Alhamdulillah sekarang Nyai dengan Yai pun hidup senang. Duduk rumah goyang kaki tapi tiap-tiap bulan dapat gaji ribu riban dari Felda.

So itulah kenangan ummi tiap kali makan kerepek pisang.Sekian harap maklum.



3 comments on "Kenangan Kerepek Pisang"

Umialya on June 21, 2012 at 3:47 PM said...

maniskan kenangan dulu

dhr on June 21, 2012 at 4:04 PM said...

susahkan family kita dulu? alhamdulillah skg dah senang. orang felda memang mewah sekarang, berbaloi susah payah dulu-dulu.

ailon said...

krepek pedas si...jom suruh mak wat raya n

 

My Journey Through Motherhood Copyright 2008 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipiet | All Image Presented by Tadpole's Notez